25 Ogos 2009

Kartika Sari Dan Hukuman Sebat.

Salam,

Dulu kita telah dihebohkan dengan hukuman sebat yang diterima oleh Kartika Sari kerana mengaku bersalah minum arak di Cherating, Pahang. Dan hukuman tersebut akan dijalankan. Namun berita terbaru memberitahu bahawa Hukuman sebat ke atas Kartika Sari ditangguhkan kerana menghormati bulan Ramadan.

Saya tak tahu sandiwara apa yang cuba dimainkan oleh undang-undang syariah di Malaysia ini. Kalau dah salah, hukumlah, buat apa nak tangguh-tangguhkan lagi. Tuhan tak suruhpun kita menghormati bulan Ramadan dengan menangguhkan hukuman yang telah ditentukan bersalah. Dahlah dulu makkamah tersebut telah menjatuhkan hukuman yang tak disuruh oleh Tuhan. Kali ini sekali lagi mahkamah tersebut yang diwakili mereka yang arif tentang agama melakukan sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Tuhan.

Dalam Quran, Tuhan tak pernah menyuruh mereka yang minum arak dihukum sebat. Tuhan mengatakan bahawa minum arak adalah satu kesalahan besar. Itu sahaja. Yang kita mandai-mandai buat hukum sebat tu siapa yang suruh. Nampaknya penggubal hukum ini lebih bijak daripada Tuhan. Tuhan kata,"2:219. Mereka menanyai kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, "Pada keduanya dosa besar, dan beberapa manfaat kepada manusia, tetapi dosanya adalah lebih besar daripada manfaatnya." Dan mereka menanyai kamu mengenai apa yang mereka patut menafkahkan. Katakanlah, "Yang berlebihan." Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat kepada kamu supaya kamu memikirkan".

Pada saya, hukum sebat yang dikenakan itu adalah sangat melampau, melewati batas yang ditetapkan oleh Allah, yang hanya menyuruh melakukannya ke atas penzina sahaja.

Semoga semuanya mendapat petunjuk daripada Allah.

16 Ogos 2009

Bacaan Doa Iftitah Yang Betul

Salam,

Apakah hukumnya menokok tambah ayat-ayat Tuhan? Pada saya menambah atau membuang ayat-ayat Tuhan dalam bacaan kita adalah satu kesalahan. Sejauh mana kesalahan itu tidaklah diketahui. Hanya Tuhan yang mengetahuinya.

Mungkin kita tidak mengetahui atau tidak menyedari ayat-ayat Quran yang kita baca sehari-hari telah diubah suai oleh ulamak-ulamak. Disebabkan ketidakpekaan kita terhadap ayat-ayat tersebut, maka kita membacanya mengikut apa yang diajar oleh nenek moyang kita. Dan apabila kita ditegur oleh seseorang tentang kesalahan tersebut, amat sukar bagi kita untuk menerimanya kerana inilah amalan turun temurun daripada nenek moyang kita.

Saya bukanlah nak menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Namun sebagai manusia yang dikurniakan akal oleh Tuhan, kita disuruh menggunakan akal tersebut untuk menilai mana yang betul dan mana yang salah. Pilihlah mana yang kita rasa betul.

Di sini saya sertakan ayat-ayat yang telah ditokok tambah, mungkin untuk menyedapkan lagi bunyi atau bacaannya.

Ayat yang betul:
إِنِّى وَجَّهۡتُ وَجۡهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ حَنِيفً۬ا‌ۖ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ()قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ () لَا شَرِيكَ لَهُ ۥ‌ۖ وَبِذَٲلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۟ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ

Ayat-ayat di atas sering kita baca ketika permulaan solat. Namun begitu ayat-ayat di atas telah diubah oleh ulamak-ulamak yang merasakan lebih bijak daripada Tuhan seperti menambahkan perkataan "musliman" selepas perkataan "hanifan" dan menukarkan perkataan "awwalul" dengan perkataan "minal" selepas perkataan "wa ana".

Moga Tuhan memberikan petunjuk kepada kita semua.

23 Jun 2009

Puasa Mengikut Quran

Salamun alaikum,

Di sini penulis perturunkan beberapa ayat Quran yang berkaitan dengan puasa. Dan daripada ayat-ayat ini penulis akan huraikan sedikit tentang puasa. Adakah ia sama dengan apa yang diamalkan oleh mejoriti umat Islam, sama-samalah kita lihat.

2:184. Pada hari-hari yang terhitung; dan jika sesiapa antara kamu sakit, atau jika dia dalam perjalanan, maka sebilangan dari hari-hari yang lain; dan bagi orang-orang yang tidak boleh (tidak bisa), ditebus dengan memberi makan seorang miskin, tetapi lebih baik baginya, yang membuat kebaikan dengan sukarela, bahwa kamu berpuasa adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
2:185. Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas dari Petunjuk itu, dan Pembeza. Maka hendaklah orang-orang antara kamu yang menyaksikan (hadir) pada bulan itu, berpuasa; dan sesiapa yang sakit, atau dalam perjalanan, maka sebilangan dari hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu; dan agar kamu mencukupkan bilangan, dan mengagungkan Allah, bahwa Dia telah memberi petunjuk kepada kamu supaya kamu berterima kasih.

2:187. Dihalalkan bagi kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahwa kamu mengkhianati diri-diri kamu sendiri, dan menerima taubat kamu, dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka, dan carilah apa yang Allah menuliskan (menetapkan) untuk kamu. Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu dari benang hitam, pada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam, dan janganlah mencampuri mereka sedang kamu bertekun (iktikaf) di masjid. Itulah had-had (hudud) Allah; janganlah keluar darinya. Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat-Nya kepada manusia supaya mereka bertakwa.

Daripada ayat-ayat di atas bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa puasa yang disuruh oleh Allah ialah pada bulan ramadan. Puasa bermula dari fajar(benang yang putih menjadi jelas nampak dari benang yang hitam ) hingga malam(apabila benang yang putih tidak jelas nampak dari benang yang hitam ). Ini jelas bertentangan dengan apa yang diajar oleh ustaz-ustaz dan ulamak-ulamak kini bahawa puasa bermula pada subuh hingga maghrib. Begitu juga dengan puasa-puasa lain seperti puasa enam dalam bulan Syawal, puasa isnin dan khamis, semuanya tidak disebut dalam Quran. Jadi dari manakah ajaran-ajaran ini datang? Adakah dari Nabi Muhammad?

Selain itu apa pula yang tak boleh dilakukan semasa puasa? Daripada ayat tersebut, jelas kita dilarang makan, minum dan bercampur dengan isteri atau suami. Tidak disebut perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti yang diajar oleh ulamak dalam Quran, oleh itu dari mana mereka(ulamak) mengambil rujukan tersebut?

Siapa yang dibolehkan untuk tidak berpuasa? Dalam Quran menceritakan hanya dua golongan sahaja yang dikecualikan daripada berpuasa iaitu mereka yang sakit dan mereka yang bermusafir. Namun begitu mereka mestilah menggantinya pada hari-hari yang lain atau memberi makan seorang miskin. Juga tidak disebut dalam Quran orang perempuan ketika haid tak boleh berpuasa.

Amalan-amalan yang tak terdapat dalam Quran seperti puasa sunat, perkara-perkara yang membatalkan puasa, perempuan haid tak boleh puasa dan lain-lain lagi mustahil datangnya dari ajaran Nabi Muhammad kerana Allah telah berfirman, "Sekiranya dia (Muhammad) mengada-adakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami mengambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya." (69:43-46).

Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua.

21 Jun 2009

Solat Menurut Quran

Salam...
Terdapat hanya tiga nama solat di dalam al-Qur’an, iaitu Solat Fajar (24:58), Solat Isyak (24:58), dan Solat Wusta, atau solat yang di tengah (2:238). Tiga nama solat ini menunjukkan waktunya juga. Waktu-waktunya dijelaskan lagi dengan sebuah ayat lain berbunyi:"Dan lakukanlah solat pada dua tepi siang, dan awal malam." (11:114) Solat yang pada waktu tepi siang pertama ialah solat fajar, sementara solat wusta, atau solat yang di tengah, pada tepi siang yang kedua. Solat yang dilakukan pada awal malam itu ialah solat isyak.

Walaupun nama-nama seperti Zuhur, Asar, Maghrib dan Subuh, tercatat di dalam al-Qur’an, namun nama-nama ini tidak dikaitkan dengan solat, atau waktu solat. Maghrib bermaksud barat, seperti yang ditunjukkan pada ayat Allah berbunyi "Kepunyaan Allah Timur dan Barat" (2:115). Zuhur pula di dalam al-Qur’an adalah waktu berehat pada tengah hari, apabila pakaian ditanggalkan. Firman-Nya, "Wahai orang-orang yang percaya, hendaklah mereka yang tangan-tangan kanan kamu memiliki, dan mereka di antara kamu yang belum cukup umur, meminta izin kepada kamu tiga kali - sebelum solat fajar, dan apabila kamu menanggalkan pakaian kamu pada waktu zuhur, dan selepas solat isyak - tiga kali aurat (penelanjangan) bagi kamu." (24:58). Sementara "asar" di dalam al-Qur’an bermaksud "masa" atau "waktu" , sebagaimana firman Allah, Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian," (103:1-2). Waktu subuh adalah sebelum fajar, iaitu waktu akhir malam. Perkataan ‘subuh’ terdapat pada ayat-ayat 11:81, 74:34, 81:18 dan 100:3, dan didapati tiada kaitan dengan solat langsung.

Solat hendaklah dilakukan pada waktu-waktu yang Allah tentukan, seperti arahan-Nya yang berbunyi: "Sesungguhnya solat adalah satu waktu yang dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin." (4:103). Wajib dilakukan dalam keadaan apa sekalipun sebagaimana firmanNya,"Jika kamu dalam ketakutan, maka sambil berjalan kaki, atau menunggang. Apabila kamu telah aman, ingatlah akan Allah sebagaimana Dia telah mengajar kamu apa yang kamu tidak tahu." (2:239)

Cara solat di dalam al-Qur’an adalah senang serta mudah diubah menurut keadaan dan keikhlasan diri. Umpamanya bilangan rakaat. Ia tidak disebut sama sekali di dalam al-Qur’an, dan dengan ini ia memberi peluang kepada umat untuk menunjukkan keikhlasan dalam melakukan solat mereka, sama ada untuk memanjangkan atau memendekkannya.

Mengenai wuduk pula (perkataan "wuduk" tidak disebut di dalam al-Qur'an), hanya empat bahagian anggota badan yang terlibat, iaitu muka, tangan, kepala, dan kaki. Ini dijelaskan dengan ayat yang berikut: "Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkanlah diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu menyentuh perempuan, dan kamu mendapati tiada air, maka bertayamumlah dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu, dan tangan kamu dengannya. Allah tidak menghendaki untuk membuat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia menghendaki untuk membersihkan kamu, dan supaya Dia menyempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih." (5:6). Jadi amalan membasuh bahagian anggota badan yang lain dalam wuduk adalah ajaran yang sesat. Sudah tentu Nabi Muhammad tidak mengajar ajaran sesat kerana firman Allah, "Sekiranya dia (Muhammad) mengada-adakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami mengambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya." (69:43-46)

Pakaian untuk solat adalah yang baik atau cantik dan bersih kerana ketika itu umat berhadapan serta berkomunikasi dengan Penciptanya. Malahan, Allah telah menyuruh mengambil perhiasan di setiap masjid, yang bermaksud tempat sujud. Dan sujud dilakukan juga dalam solat. Firman-Nya, "Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid" (7:31).

Solat adalah suatu cara istimewa dalam interaksi dengan Allah. Satu daripada tujuan solat adalah untuk memohon pertolongan. Firman-Nya: "Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat...." (2:45). Selain itu solat jga bertujuan mengingatiNya, sebagaimana firmanNya,"Dan lakukanlah solat untuk mengingati aku." (20:14). Untuk mengingatiNya, kita hendaklah menyeru dan memujiNya. Sebagaimana firmanNya, "Katakanlah, ‘Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama yang paling baik.’ Dan janganlah kamu melantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." (17:110). "Dan katakanlah, ‘Segala puji bagi Allah yang tidak mengambil seorang anak, dan yang tidak ada sebarang sekutu dalam kerajaan, dan tidak juga sebarang wali (pelindung) daripada kerendahan diri.’" (17:111)

Bahasa bukanlah satu isu dalam menyembah Tuhan. Dia tidak pernah mengarahkan bahasa Arab dijadikan bahasa pengantar dalam solat untuk semua kaum. Sebaliknya, Dia melarang melakukan solat jika apa yang diucapkan di dalamnya tidak difahami. Firman-Nya: "Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu ucapkan," (4:43).

Nada suara dalam solat tidaklah terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah tetapi di pertengahan, dan ini adalah untuk semua solat. Firman-Nya: "Dan janganlah kamu melantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." (17:110)

Apa yang ingin dibaca semasa tunduk (rukuk) misalnya, bolehlah mengambil teladan daripada Nabi Daud yang memohon ampun semasa tunduk: “Dan Daud menyangka bahawa Kami mengujinya; maka dia meminta ampun kepada Pemeliharanya dan dia jatuh, tunduk, dan dia berkesesalan” (38:24). Atau semasa sujud, ambillah pengajaran daripada ayat-ayat di bawah ini:2:58. Dan apabila Kami berkata, "Masuklah bandar raya ini, dan makanlah dengan senang daripadanya di mana sahaja kamu mengkehendaki, dan masuklah pada pintu gerbang dengan bersujud, dan katakanlah, 'Tidak membebankan'; Kami akan mengampuni kamu atas pelanggaran-pelanggaran kamu, dan menambahkan kepada orang-orang yang berbuat baik."7:120-121. Dan ahli-ahli sihir melemparkan diri, bersujud. Mereka berkata, "Kami percaya kepada Pemelihara semua alam,17:107-108. Katakanlah, "Percayalah kepadanya, atau tidak mempercayai; orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila dibacakan kepada mereka, jatuh di atas dagu-dagu mereka dengan bersujud, Dan berkata, 'Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara kami dilakukan.'25:64-65. Yang melalui malam dengan bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri. Yang berkata, "Wahai Pemelihara kami, Engkau palingkanlah daripada kami azab Jahanam; sesungguhnya azabnya adalah penderitaan yang paling ngeri,32:15. Orang-orang yang mempercayai ayat-ayat Kami hanyalah yang apabila mereka diperingatkan dengannya jatuh bersujud, dan mereka menyanjung dengan memuji Pemelihara mereka,

Seperti mana-mana seruan kepada-Nya, solat diakhiri dengan memuji Allah. Pujian kepada-Nya berbunyi "Alhamdulil lahi rabbil alamin" atau "Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam." Ini diketahui daripada ayat-Nya yang berbunyi:"Dan akhir seruan mereka, ‘Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.’" (10:10) Dan Kata-Nya lagi, "Dan Dia, Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Bagi-Nya segala pujian pada permulaan dan akhir, dan bagi-Nya juga Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan." (28:70)

Artikel ini diambil daripada e-bacaan dan diedit oleh penulis supaya lebih pendek.